Sekolah ini mula didirikan pada tahun 1944 oleh orang-orang kampung Pengkalan Chengal yang diketuai oleh Allahyarham Tuan Haji Awang bin Karim, Iman Masjid Mukim Pengkalan Chengal.
Pada mulanya sekolah ini diberi nama Madrasah 'TAHZIBUL-ISLAMIAH'(Sekolah Agama Arab). Keramaian murid ketika itu 30 orang dan Guru Besarnya ialah Ustaz Ab. Majid b. Idris. Sekolah ini kekal sebagai Sekolah Agama Arab selama kiri-kira tujuh tahun sahaja (dari 1944-1950).
Pada tahun 1951, sekolah ini dikenali dengan nama Sekolah Rakyat dan sekolah Melayu Rakyat Bantuan Penuh kerajaan pada tahun 1952. Pada tahun 1957, sekolah ini diambil alih oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan dinamakan Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chengal sempena nama kampung ini. Jumlah murid pada masa itu seramai 120 orang dengan 6 tenaga pengajar dan diketuai oleh Encik Mustapha bin Yusoff.
Tahun 1964, dengan daya usaha dan pengorbanan guru-guru yang ada pada ketika itu rela membeli sebidang tanah seluas 2 ekar 16 depa dengan harga RM 1200.00 secara berkongsi untuk diserah kepada Kementerian supaya mendirikan sekolah yang lebih baik. Guru yang sanggup berkorban itu ialah :- 1. En. Mustapha bin Yusoff 2. En. Awang bin Yusoff 3. En. Che Mud bin Omar 4. En. Sanusi bin Omar 5. En. Abdullah bin Mohamad 6. En. Mohamad zain
Syabas diucapkan kepada guru-guru ini kerana pengorbanan yang penuh bererti bagi penduduk dikawasan ini demi untuk Agama, Bangsa dan Tanah Air. "JASAMU TETAP DIKENANG". Hasil daripada usaha ini Jabatan Pelajaran mendirikan satu bangunan kayu yang mempunyai 6 bilik darjah.
Pada tahun 1984 Jabatan Pelajaran Kelantan meluluskan satu bangunan mengandungi 3 bilik darjah untuk menampung kekurangan bilik di bawah rancangan "Projek Sekolah Kilat". Sehubungan dengan itu juga Bekalan Elektrik dimasukkan ke sekolah. Ketika ini keramaian murid ialah 213 orang dan mempunyai 11 orang guru.
Pada tahun 1986 sekali lagi sekolah ini diberi peruntukan oleh Jabatan Pendidikan untuk menambah satu bangunan 'Projek Gotong-royng' yang mempunyai 5 bilik darjah demi untuk menampung keramaian murid yang semakin meningkat ke angka 239.
Pada tahun 1993, satu blok bangunan baru dengan 4 bilik darjah diperolehi hasil daripada lawatan Menteri Pendidikan Dato' Amar Dr. Sulaiman b. Hj. Daud.
|